Assalamualaikum, salam Ramadhan!
Pada 19 Julai 2012 M bersamaan 29
Sya’aban 1433 H. Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Negeri Kelantan telah
mengadakan satu lawatan sambil belajar ke Yala, Thailand yang bertujuan untuk
mempelajari dan memahami kaedah-kaedah cerapan hilal yang dilakukan khususnya
bagi bulan Ramadhan. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk memahami
kaedah dan prosedur penentuan awal bulan hijriyah selain bertukar-tukar
pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Lawatan ini dianjurkan memandangkan
terdapat satu kawasan di Yala, iaitu di Bukit Yaha, anak bulan bagi penentuan
tarikh penting umat Islam ini sering dilaporkan kelihatan dan membawa kepada penetapan awal bulan baru pada keesokan harinya.
Bulan menurut hisab falakiah pula
pada ketika lawatan ini diadakan dijangkakan berumur 7 jam lebih pada waktu
Maghrib. Manakala jangkamasa terbenam hilal selepas ghurub matahari adalah 3
minit. Maka, atas sebab ciri-ciri hilal sebegini , tarikh ini dipilih sebagai
tarikh lawatan yang paling sesuai untuk dilakukan perbandingan yang baik. Bagi
negara Malaysia, umat Islam dijangkakan berpuasa pada 21 Julai 2012 dengan
digenapkan Sya’aban kepada 30 hari pada 20 Julai 2012. Thailand pula, sekiranya
mengikut pengalaman-pengalaman lepas, dijangkakan mula berpuasa pada 20 Julai
2012, iaitu dengan nampak anak bulan semasa hari rukyah 19 Julai 2012.
Rombongan daripada persatuan ini
terdiri daripada Dr. Mahamarowi bin Omar, selaku Presiden Persatuan Astronomi
(Falak) Amatur Negeri Kelantan, Ust Mohd Nor Bin Husain, yang bertindak selaku
pengurus rombongan, Ust Abdullah Bin Hassan, pensyarah Falak Syar’ie di Kolej
Islam Sains dan Teknologi (KIST) yang menyediakan data rukyah bagi Yala dan
Kota Bharu, En. Nik Mohd Razif Bin Nik Hashim, wakil ahli jawatankuasa persatuan
dan Helmi Bin Mahamarowi selaku jurugambar rombongan.
Rombongan bertolak pada pukul 10:00
pagi dari Kota Bharu, Kelantan dengan menaiki kereta pacuan 4 roda Toyota Land
Cruiser bernombor pendaftaran SB 116 A dan tiba sekitar 10:45 di Kompleks
Imigresen Rantau Panjang. Urusan-urusan berkaitan imigresen selesai sekitar jam
11:30 pagi. Walaubagaimanapun, berlaku sedikit kelewatan apabila pemandu
rombongan untuk ke Yala lewat tiba di Kompleks Imigresen.
Perjalanan ke Thailand dari Sungai
Golok bermula jam 12:15 tengahari menggunakan lebuh raya yang menghubungkan
Selatan Thai ke Bangkok sejauh 1200 km. Lebuh raya ini melalui wilayah
Narathiwat dan Pattani sebelum sampai ke Yala. Perjalanan ini mengambil masa
lebih kurang 2 jam 15 minit dan tiba di Universiti Islam Yala sekitar jam 2:30
petang. Rombongan disambut oleh Timbalan Rektor (Perhubungan Awam), Syeikh Dr.
Ahmad Umar, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Dr. Zakariya, Dekan Lajnah Fatwa,
Dr. Ismail, Pengarah Perpustakaan, Dr. Ibrahim dan beberapa lain lagi
kakitangan universiti yang bertugas.
Rombongan diperkenalkan dengan wakil-wakil Universiti Islam Yala pada pertemuan kali ini, dan rombongan memperkenalkan diri serta tujuan lawatan ini dianjurkan. Ust Dr. Ismail menerangkan sedikit tentang kaedah yang digunakan untuk menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Di Thailand, terdapat Majlis Agama Islam di setiap wilayah yang melakukan rukyah hilal. Mereka akan menerima keterangan daripada sesiapa sahaja yang melihat hilal dan kemudiannya laporan tersebut disampaikan kepada Syeikhul Islam yang berada di Bangkok. Selepas disahkan laporan berkenaan, baharulah disytiharkan tarikh awal mula puasa atau raya. Perbincangan tambah menarik apabila kedua-dua pihak bertukar-tukar maklumat daripada kedua-dua negara, dan lontaran-lontaran idea serta pendapat berkenaan teknik dan kaedah yang digunakan.
Posing istimewa untuk peminat blog Balai Cerap Mini Dr. Rowi
Perbincangan yang diadakan antara Persatuan Astronomi (Falak) Negeri Kelantan dan Universiti Islam Yala
Sesi bergambar kesemua yang hadir. Dari kanan, Dr. Ismail, Ust Che Ariff, Ust Aziz Marbo, Dr. Zakariya, Dr. Ibrahim,
Dr. Rowi, Ust Mohd Nor, En. Nik Razif, Ust Abdullah
Penyampaian cenderahati daripada wakil KIST kepada wakil Universiti Islam Yala
Majlis berakhir pada jam 5:00 petang (waktu Malaysia) dan rombongan menuju untuk menjamu selera dan solat jamak ta'akhir di Bandar Yala. Sekitar jam 5:50, rombongan mula menuju ke tapak cerapan hilal di Bukit Yaha, kira-kira 25 km daripada bandar. Setibanya di sana, rombongan terpegun dengan kehadiran ramai penduduk yang berada di kaki bukit, samada menunggu untuk diangkut naik ke atas menggunakan kenderaan askar, ataupun berjalan kaki untuk mencerap hilal. Kebanyakannya adalah kanak-kanak dan pelajar-pelajar sekolah sekitar umur 15 - 25 tahun. Rombongan menaiki terus ke atas dengan pacuan 4 roda dan tiba sekitar jam 6:20 petang. Suasana di atas bukit juga semakin dipenuhi oleh orang ramai. Terdapat juga askar yang mengawal keadaan, serta pertubuhan sosial yang menyediakan air serta makanan untuk mereka yang hadir. Suasana pada waktu ini seumpana penduduk sedang berpesta menyambut Ramadhan dengan masing-masing ingin melihat anak bulan.
Pintu masuk di kaki bukit sebelum mendaki ke bahagian atas.
Kelihatan penduduk kampung yang menunggu untuk naik dan pihak berkuasa yang mengawal keadaan
Suasana yang sudah dipenuhi oleh penduduk setempat setibanya rombongan di sini
Para muslimin yang datang dan tekun memerhatikan langit. Jumlah mereka dianggarkan 1000 orang
Penguasa bagi 3 wilayah (Pattani, Yala dan Narathiwat) sedang mengagihkan buah tamar setelah cerapan tamat
Suasana para hadirin selepas tamat cerapan
Suasana yang ramai dan menunggu untuk turun ke bawah menaiki kenderaan yang disediakan oleh masyarakat tentera
Kanak-kanak yang turut serta dan gembira dengan suasana melihat anak bulan
Rombongan sempat berjumpa dengan imam-imam, penasihat penguasa wilayah, penguasa wilayahahli majlis agama Islam, dan ramai lagi yang tidak dapat disenaraikan. Jurugambar dan ahli rombongan yang lain mengambil tempat masing-masing sekitar 6:25 petang dan menunggu sehingga ghurub matahari. Matahari pada waktu ini masih kelihatan dan suasana ufuk dianggap terang dengan ketiadaan awan, serta bukit di kawasan ufuk masih dapat dilihat dengan jelas.
Berjumpa dengan wakil Majlis Agama Islam Yala
Keadaan matahari yang belum ditutupi awan tebal yang hitam semasa sebelum terbenam
Kawasan tapak cerapan dipenuhi sebelum matahari ghurub
Ghurub matahari dijangkakan sekitar jam 6:34 petang dan matahari sudah mula tidak kelihatan pada jam 6:30 petang yang menyebabkan jangkaan masa ghurub tidak dapat dilakukan dengan tepat. Kawasan terbenam pula dijangkakan 5 darjah ke sebelah kiri matahari juga dipenuhi dengan awan yang gelap. Keadaan ini berterusan sehingga jam 6:45 petang dan rakaman berakhir sekitar jam 6:55 petang. Berakhir cerapan dengan keadaan para penduduk kampung tidak kelihatan riuh dengan kenampakan hilal. Walaubagaimanapun, kami dimaklumkan oleh penasihat penguasa wilayah Yala bahawa anak bulan kelihatan oleh imam yang berada di bahagian bawah bukit.
Qadhi Syariah Wilayah Yala sedang mengambil keterangan imam yang mendakwa dapat melihat anak bulan Ramadhan
Rombongan mula merancang untuk ke tempat mengambil keterangan saksi di Masjid Cabang Tiga Bukit Yaha. Majlis dijangkakan akan berlangsung selepas selesai menunaikan solat Maghrib. Setibanya di masjid tersebut, kami terus ke dewan di mana keterangan saksi diambil. Kami sempat merakamkan gambar dan video penyaksian yang dimulakan dengan kalimah syahadah dan soalan-soalan yang ditanyakan oleh Qadhi Syariah Wilayah Yala.
Cenderamata daripada KIST untuk Qadhi Syariah Wilayah Yala
Kami dimaklumkan terdapat 3 orang yang mendakwa melihat anak bulan. Hanya seorang imam sahaja yang diambil keterangan penuh, manakala seorang lagi saksi diambil separuh dan dianggap sama dengan saksi yang pertama. Kemudiannya saksi yang ketiga tidak dipanggil untuk memberi keterangan. Selesai sahaja mengambil keterangan, majlis bersidang dan memutuskan untuk menerima keterangan saksi. Akhirnya sekitar jam 9:00 malam, stesen televisyen dan radio mengumumkan kenampakan hilal dan Thailand akan mula berpuasa pada 20 Julai 2012.
Rombongan bertolak ke Rama Hotel untuk berehat sebelum bertolak pulang seawal jam 9:00 pagi dari Yala menuju ke Kota Bharu. Kami menyaksikan inilah kali pertama suasana yang sangat meriah, serta kaedah prosedur yang dilakukan oleh masyarakat di Thailand dalam menentukan awal bulan Ramadhan. Mudah-mudahan lawatan ini memberikan pelajaran yang sangat bermakna bagi kita semua.
Salam Ramadhan untuk semua. Selamat berpuasa dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah.
Wassalam.
Salam Ramadhan untuk semua. Selamat berpuasa dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah.
Wassalam.
5 comments:
slm dr rawi,
demo tu tgk dgn mata ke guna alat?
salam DR.nak tanya, dibolehkan ke kalu di malaysia ada yang berpuasa start 20hb tu..ikut arab saudi katanya..mohon pencerahan
Waalaikumussalam,
Untuk pengetahuan Anonymous,
lebih 60 negara di dunia ini memulakan puasa pada hari Jumaat dan hanya lebih-kurang 20 negara sahaja yang memulakan Ramadhan pada hari sabtu dan salah satunya adalah Malaysia. Saya tidak nampak ada kesalahan berpuasa pada pada hari jumaat sebab anak bulan sudah ada pada ufuk barat semasa matahari terbenam...tinggal cuma tidak cukup syarat untuk menjadikan ia sebagai anak bulan itu mengikut tafsiran yang diguna pakai di Malaysia dan beberapa negara yang lain. Negara lain mungkin memakai kaedah yang lain. Lihat sahaja di Indonesia..ada yang berpuasa pada Jumaat dan ada juga berpuasa pada sabtu...
Ainun,
Mari umoh la nak cerita pasal pengalaman kat Yala ni...
ok syukran DR..sebab kat umah saya ada yg puasa mula jumaat ada yg sabtu..jadi yang tak fhm pasal ni susah skit..tq atas pencerahan..:-)
Post a Comment