Welcome to Dr. Mahamarowi Omar official blog.

Sunday, December 26, 2010

Cuaca di KB/ Star Party

Assalamualaikum,
Sehari dua ini cuaca di Kb makin baik. Di harap keadaan begini akan berterusan sehingga waktu malam.
InsyAllah jika keadaan begini berterusan aktiviti pencerapan and pengimejan akan dimulakan semula dan  segala imej2 yang terhasil akan diparkan dalam blog ini untuk dikongsi bersama.
Kita juga sedang merangcang untuk mengadakan Star Party di Pantai Mek Mas pada Tahun Baru Cina nanti.
Sesiapa yang berminat bolehlah menghadirkan diri untuk berkongsi ilmu dengan sifu2 dari seluruh Malaysia
Salam
Dari Balai Cerap Mini Dr. Rowi

Wednesday, December 15, 2010

Meteor Geminid

       Cuaca di Kota Bharu malam ini amat baik sekali. saya dan rakan-rakan telah mengambil keputusan untuk ke Balai Cerap Mini Dr Rowi untuk mencuba sekali lagi Kamera 20D saya. sementara kami mencuba untuk merakamkan imej melalui Teleskop kami juga telah  mengintip untuk melihat hujan METEOR GEMINID walaupun waktu kemuncaknya telah berlalu.Alhamdulillah kami sempat melihat lebih dari 10 buah METEOR. kami begitu teruja,kawan-kawan saya begitu gembira dan ini merupakan satu pengalaman yang pertama bagi mereka.

       Berikut adalah dua imej yang sempat dirakamkan melalui Teleskop Pantex 100 f/4dengan menggunakan camera 20D sebelum awan tebal menyelubungi langit dan hujan mulai turun dan Balai Cerap Mini terpaksa ditutup.
    
Bintang Pleaides diambil dengan dedahan masa 3minit


 Gambar Bulan diambil menggunakan ISO 800.

         Ini merukan pengalaman yang tidak akan kami lupakan sampai bila-bila kerana saya bukan sahaja gembira kerana camera saya sekali lagi digunakan untuk mengambil gambar tetapi juga gembira melihat sahabat-sahabat saya iaitu Nur Maizatul Akma,Bintul Huda,dan Nur Ain seronok dan terlalu teruja menjejak meteor sehinggakan riuh Balai Cerap ini dengan suara-suara kami...

created by: Mohamad Shahzree Shafiq

Tuesday, December 7, 2010

kamera CANON 20D baru dibeli

Saya telah membeli sebuah kamera CANON 20D sehari sebelum hari raya aidiladha..kebetulan harga yg ditawarkan agak berpatutan.. tujuan utama saya membeli kamera ini adalah untuk mempelajari ilmu astronomi dan juga untuk merakam imej cakerawala. Kebetulan malam ini bersempena 1 MUHHARAM, cuaca agak baik dgn langit cerah dan indah sekali, saya terus sahaja ke rumah DR MAROWI untuk mencuba kamera baru saya. Dengan meyambungkan kamera kepada teleskop  PENTAX  100mm F4 yang sudah berada diatas mount takahashi NJP terus saja saya hadapkan kepada bintang Procyon dan kemudian kearah " Seven Sister" . Saya berasa amat berpuas hati dengan pengalaman pertama ini apabila dapat melihat imej bintang buat pertama kali dalam kamera baru saya. Ia merupakan satu pengalaman indah bagi diri saya........
imej pertama dari kamera saya (bintang procyon)

imej kedua dari kamera saya (Seven Sister) dengan dedahan 5 saat

imej ketiga dengan dedahan 10 saat(Seven Sister)

imej keempat dengan dedahan 12 saat(Seven Sister)


by: Mohamad Shahzree Shafiq

Friday, December 3, 2010

Musim tengkujuh di Pantai Timur

Sudah 3-4 bulan di Kota Bharu cuaca tidak mengizinkan untuk cerapan dan pengimejan. Ditambah pula dengan cuaca yang tidak menentu serta hujan dan kadang-kadang ribut petir yang amat dasyat. 

Di awal bulan Disember ini langit sentiasa dilindungi awan yang tebal dituruti dengan hujan renyai-renyai yang kadang-kadang menjadi lebat dan tidak henti-henti.




Kelembapan yang tinggi boleh menyebabkan segala alat-alat astronomi seperti teleskop, kamera, kanta-kanta mudah sekali dijangkiti oleh kulat. Jika tidak di buat sesuatu maka tahun depan alat-alat ini tidak boleh digunakan lagi.  Atau mungkin memerlukan belanja yang besar untuk mencucinya. Mencuci alatan astronomi yang dijangkiti kulat ini bukan sahaja memerlukan belanja yang besar tetapi jika tidak dilakukan oleh mereka yang profesional dalam bidang ini, ia boleh merosakkan lagi alatan tersebut.

Jadi, semua alatan astronomi mesti disimpan dalam kotak pengering (dry box) yang kelembapannya dikawal secara rendah dan tetap.


Tetapi  teleskop begitu besar untuk diletakkan di dalam kotak ini. Oleh itu satu caranya ialah dengan memanaskan sedikit cermin teleskop dengan meletakkan mentol lampu yang berkuasa tinggi berhampiran dengan permukaan teleskop. Pemanasan cermin dengan cara ini boleh mengurangkan jangkitan oleh kulat walaupun bukan cara yang paling sesuai.


Salam
Dari Balai Cerap Mini Dr. Rowi

Saturday, October 23, 2010

Bulan Purnama Terperangkap Di Celah Celah Lampu Lebuhraya







Kebetulan saya petang tadi saya sedang memandu melalui lebuh raya Pasir Mas, Salor kelihatan bulan purnama sedang meninggi di ufuk timur melalui celah celah lampu lebuh raya seolah-olah terperangkap diantaranya. Dengan kamera baru Canon EOS 60D, terus saja saya menghentikan kereta dan merakamkan kejadian tersebut. Sebaik saja sampai di rumah, dengan menggunakan lensa 70-200mm L series pada jarak fokus 200mm bulan purnama itu dirakamkan di atas balai cerap mini saya. 

Cuaca malam ini agak baik. Insya allah jika tiada halangan kita akan cuba merakamkan komet Hartley pagi nanti. 

Salam dari balai cerap.

Friday, October 22, 2010

Menjejak Komet Hartley




Sudah enam bulan cuaca di Kota Bharu berawan pada malam hari. Mengakibatkan aktiviti mencerap di Balai Cerap Dr. Rowi tergendala beberapa waktu.

Peristiwa-peristiwa seperti opposisi planet jupiter dan kehadiran komet hartley langsung tidak memberikan kami peluang untuk menjejaknya. Kebetulan juga pada 2-3 bulan ini Dr. Rowi selalu bertugas di luar negeri. Paling terbaru, Dr. Rowi baru pulang dari Bangladesh.

Komet Hartley 103P adalah komet yang berkala (periodic comet) mempunyai orbit keliling selama 6.46 tahun. Komet Hartley telah dijumpai oleh Malcolm Hartley pada 1986 di Schmidt Telescope Unit, Siding Spring, Australia.

Untuk hari ini, Hartley 103P akan kelihatan berada dalam buruj Auriga dan akan meniggalkan buruj tidak berapa lama lagi.

Untuk kali ini Dr. Rowi akan menggunakan kamera DSLR yang baru, Canon EOS 60D yang baru sahaja dibeli beberapa hari.Sementara menunggu untuk mendapatkan gambar komet Hartley 103P, Dr. Rowi telah mengambil gambar Pleiades.

Imej diatas diambil dengan menggunakan kamera canon 60D dengan dedahan selama 20 saat sahaja melalui teleskop Pentax f4. Walaupun agak pendek masa dedahanya tapi sudah menampakan nebula sekeliling bintang-bintang Pleiades ini. Nampaknya kamera ini boleh digunakan untuk astrofotografi

Aktiviti untuk 21 Oktober 2010 tertangguh kerana kehadiran awan yang tebal hingga subuh.

Alhamdulillah, pada 22 Oktober 2010, langit amat cantik, kelihatan bintang bercahaya terang.

Peluang ini diambil oleh kami untuk mengambil gambar Hartley 103P.
Berikut adalah gambar2 komet yang telah diambil.

Di ambil menggunakan Canin EOS 50D, dedahan selama 30saat, ISO 400 menggunakan PENTAX.

Diambil menggunakan kamera CCD SBIG dipandu ke atas teleskop APM APO.
Dedahan selama 1 minit.

Untuk maklumak para pembaca, bintang yang hampir dengan komet ialah Epsilson Auriga.





Saturday, September 18, 2010

Planet Mercury (Utarid) boleh dilihat waktu subuh



Planet elusive Mercury atau Utarid dapat dilihat waktu subuh untuk minggu ini. Planet ini merupakah sebuah planet yang agak cerah tetapi amat jarang mendapat perhatian para peminat astronomi. Malah ramai sekali para ahli profesional astronomi tidak pernah melihat planet ini seumur hidup mereka.
Minggu ini merupakan salah satu waktu yang paling sesuai untuk mencerap planet ini. Oleh kerana planet ini merupakan sebuah planet yang kecil  dan juga dikenali sebagai "Innermost Planet" dalam sistem suria, maka kedudukanya sentiasa tidak jauh dari Matahari. Jadi ia sentiasa berada dalam latar belakang langit yang agak terang seperti diwaktu subuh atau waktu petang hari.
Dua kali dalam setiap tahun, satu kali pada waktu petang dan sekali waktu subuh, planet Mercury ini berada paling jauh dari Matahari dan sudah tentu berada agak tinggi dilangit. Ini memberikan peluang yang baik untuk mencerap dan menjejak planet ini. Minggu ini merupakan waktu yang paling sesuai untuk tahun ini untuk menjejak dan mencerap planet yang paling Elusive ini. Jangan lupa bangun awal, sebaik sahaja selesai solat subuh terus sahaja mencerap planet ini.
Tidak berapa jauh dari dari planet ini terdapat sebuah bintang yang dikenali sebagai "Regulus"yang berada dalam buruj Leo Major.
Anda tidak perlukan sebuah teleskop yang mahal atau berkomputer untuk mengenali planet dan bintang ini cukup sekadar sepasang mata yang sihat, sebuah binokular dan sebuah carta bintang. Jika tidak cukup dengan sepasang mata sahaja.

Salam dari Balai Cerap Mini Dr. Rowi
 

Thursday, September 16, 2010

Mari Belajar Nebula

Oleh: Ahmad Ashraf Azhar

Nebula adalah satu kelompok awan/asap yang berterbangan di angkasa. Asap-asap tersebut biasanya mempunyai warna. Ada yang berwarna merah, putih, kelabu, dan sebagainya.

Nebula terbahagi kepada beberapa jenis.
Nebula Bercahaya (Glowing Nebula), Nebula Pantulan (Reflection Nebula), Nebula Legam (Dark Nebula), dan Nebula Berplanet (Planetery Nebula).

Glowing Nebula
dinamakan sebegitu kerana ia mengeluarkan cahaya merah-malap seiring dengan gas hidrogen yg dipanaskan oleh radiasi bintang di sekeliling mereka.

Contoh paling popular bagi
Glowing Nebula ialah Nebula Orion.

Nebula Orion
adalah nebula yang dapat dilihat dengan mata kasar. Ia kelihatan seperti debu kelabu kecil di angkasa.
(Gambar ini di ambil pada tahun 2004 menggunakan kamera SLR Filem)
Sumber: Arkib Dr Rowi & Persatuan Falak Syari
e MML



Reflection Nebula tidak dapat memantulkan cahaya dengan sendiri. Ia akan dapat dilihat hanya melalui cahaya pantulan daripada cahaya daripada bintang sekeliling mereka. Cahaya daripada bintang sekelilingnya tidak mencukupi untuk membuatkan nebula jenis ini berdikari untuk memantulkan cahaya dengan sendiri, jika ia dapat mengeluarkan cahaya dengan sendiri, maka ia akan menjadi Glowing Nebula.


Sehingga kini, sebanyak 500 Reflection Nebula telah dikenal pasti, antara yang tercantik untuk dicerap adalah Bintang Tujuh Beradik (Pleides-M45) dan Trifid Nebula (M 20).

Bintang Tujuh Beradik
(Gambar tahun 2004, SLR Manual, dedahan 5 minit)

Sumber: Arkib Dr Rowi & Persatuan Falak Syarie MML


Trifid Nebula
(Gambar tahun 2004, SLR Manual, dedahan 5 minit)
Sumber: Arkib Dr Rowi & Persatuan Falak Syarie MML



Manakala Dark Nebula pula adalah nebula yang bukan sahaja tidak memantulkan cahaya, malah ia menyerap semua cahaya. Ia hanya dapat dilihat hanya apabila ada nebula yang bercahaya di belakangnya ( samada Reflection Nebula atau Glowing Nebula).

Anta
ra contoh untuk Dark Nebula adalah Horse Head Nebula (Nebula Kepala Kuda)

Nebula Kepala KudaDiambil oleh Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Falak Syarie MML 2003.
Kemungkinan ini gambar pertama yang diambil di Malaysia.
Sumber: Arkib Dr Rowi & Persatuan Falak Syarie MML


Jika dibesarkan, anda dapat lihat asap hitam tersebut amat tebal dan menghalang cahaya disebaliknya daripada melepasinya.


Terkahir sekali untuk post kali ini adalah, Planetary Nebula. Planetary Nebula adalah satu kepulan debu yang nipis yang terhasil daripada bintang yang mati. Ia seakan-akan berbentuk bulat, dan adakalanya bujur sedikit.

Contoh terbaik adalah Ring Nebula (M57)yang terletak dalam buruj Lyra.


Sumber: Arkib Dr Rowi & Persatuan Falak Syarie MML

Friday, August 20, 2010

Planet Neptune



Ini adalah image planet Neptune yang dirakamkan oleh NASA yang pada keadaan kini (20 Ogos 2010) berada dalam keadaan opposisi. Iaitu  kedudukan dimana matahari bumi dan planet ini berada dalam garisan lurus.  Pada keadaan ini planet Neptune akan muncul di langit timur pada waktu matahari mula terbenam dan berada pada titik tertinggi dilangit pada tengah malam. Biasanya pada ketika ini juga planet berada paling dekat dengan Bumi, kedudukan oposisi bagi Planet Neptune kali ini begitu istimewa kerana tidak lama lagi planet ini akan berada pada titik dimana ia  buat pertama kali dijumpai pada tahun 1846. Menjadikan ia melengkapkan satu pusingan lengkap buat pertama kalinnya semenjak dijumpai. Peristiwa ini akan berlaku dalam tahun 2011 dan Planet Neptune akan berada dalam buruj Capricon sama seperti kedudukan semasa pertama kali mula dijumpai. Planet Neptune mengambil masa 165 tahun untuk melengkapkan pusinganya mengelilingi matahari.
 Bolehkah anda melihat Planet Neptun dengan mata kasar? Ia cuma kelihatan seperti sebuah bintang yang agak malap dan amat sukar untuk dilihat dengan mata kasar. Walaubagaimana sekali pun ini adalah masa yang paling sesuai melihat planet Neptune, jadi jangan mensiakan masa selepas sembahyang terawih nanti . Cuba perhatikan planet ini yang berada berdekatan antara Buruj Aquarius dan Buruj Capricorn. Jika anda mempunyai sebuah binokular dan teleskop berkomputer sudah tentu ia akan memudahkan pencarian dan melakukan pemerhatian.

Salam,
Dr Rowi

Sunday, June 20, 2010

Hilal Rejab

Salam dah Selamat Hari Bapa =)

Imej di bawah adalah Hilal bulan Rejab yang dirakamkan baru-baru ini di Balai Cerap mini Dr. Rowi. Hilal ini berumur lebih kurang 24 jam. Cerapan dan rakaman dilakukan bermmula pada pukul 6;00 petang dan imej Hilal telah kelihatan beberapa minit sebelum waktu maghrib. Ia kelihatan di dalam kamera terlebih dahulu sebelum boleh dilihat dengan mata kasar. Walaupun umurnya agak tua untuk bulan baru tetapi untuk melihatnya bukan satu perkara yang agak mudah walaupun menggunakan teleskop berkomputer. Rakaman dilakukan dengan menggunakan kamera digital SLR Canon 20Da melalui teleskop Pentax 100mm f/4. Jika diperhatikan dengan teliti pada imej itu, kesan earthshine juga kelihatan









Sekian. Wassalam

Thursday, May 20, 2010

Lagi imej-imen peghijaban planet Venus oleh bulan

Berikut adalah urutan imej-imej penghijaban planet Venus oleh bulan yang dirakam pada 16 Mei 2010 dengan menggunakan kamera CCD SXV-H9 melalui teleskop Pentax 75mm F/6.5


                                   


Monday, May 17, 2010

Penghijaban Zuhrah oleh Bulan.

16 Mei 2010

Occultation atau dalam bahasa melayunya adalah penghijaban adalah sesuatu peristiwa yang berlaku apabila sesuatu objek dilindung atau dihijab oleh sesuatu objek lain yang bergerak antara objek yang dilindung dengan pemerhati. Perkataan occultation digunakan secara meluas dalam bidang astronomi dan ia juga boleh digunakan untuk pengistilahan dalam bidang ilmu lain.

Untuk peristiwa kali ini, ia dinamakan Venus-Moon Occultation. Dimana, Venus atau planet Zuhrah yang menjadi objek sasaran kami sebagai pemerhati telah dihijabkan oleh bulan.

Kami seramai tiga orang iaitu Dr. Rowi, Azim Ismail, Presiden Persatuan Falak Syarie Maahad Muhammadi (Lelaki) dan saya. Aktiviti kami bermula se awal pukul 6:30 petang.

Dua kamera yang kami gunakan untuk merakamkan gambar aktiviti kami. Pertama adalah kamera DSLR Canon 20 Da yang dipandu ke atas teleskop Pentax 100mm F/4. Berikutnya adalah kamera CCD Starlight Express Monochrome SXV-H9 yang dipandu ke atas teleskop Pentax 75mm SDHF F/6.7 dan dikendalikan menggunakan perisian Sky Map Pro.

Berikut adalah susunan gambar mengikut kronologi peristiwa(sila klik setiap gambar untuk lihat secara jelas).




Gambar 1. Pukul 7:27 seminit sebelum berlaku penghijaban. Kelihatan Zuhrah di sebelah atas bulan.







Gambar 2.Pukul 7:28(waktu hijab bermula). Sebahagian Zuhrah telah dihijabkan oleh bulan. Kelihatan cahaya Zuhrah semakin berkurang.











Gambar 3. Pada waktu ini. Juga dalam pukul 7:28. Zuhrah telah lenyap dan telah dihijabkan seluruhnya.











Aktiviti kami berehat sebentar dan bersambung pada pukul 8.25mlm. Teleskop ditinggalakn dalam keadaan terpasang.

Berikut adalah gambar babak Zuhrah kelaur daripada hijaban Bulan.

Gambar 4
Pada waktu ini, beberapa minit sebelum pukul 8:33, gambar diambil tanpa henti menggunakan kamera Canon 20Da.










Gambar 5
Pukul 8:33, waktu ini, bulan amat cantik dilihat menggunakan mata kasar, ia seperti sebuah permata yang memancar keluar dari badan bulan. Pada waktu ini, kami bertiga tidak berhenti menekan butang snap pada kamera dan butang Enter untuk kamera CCD







Gambar 6
Gambar ini diambil seminit selepas Zuhrah keluar daripada hijaban bulan. Seterusnya Zuhrah bergerak jauh meninggalkan bulan.












Daripada:
Ahmad Ashraf Azhar,
Presiden,
Persatuan Falak Syarie,
Maahad Muhammadi (Lelaki) 2007.


Sunday, May 16, 2010

M8 dan M20 - Nebula Laguna dan Nebula Trifid.

Gambar di atas telah dirakamkan oleh Dr. Rowi di balai cerap beliau pada 12 Mei yang lalu, gambar diambil pada pukul 1:14pagi. Menggunakan kamera Canon 20Da dengan dedahan selama 10minit serta ISOnya sebanyak 200.

Dalam gambar sebelah, Nebula Trifid,M20 adalah sebuah gabungan nebula letupan dan nebula pantulan. Jika dilihat pada gambar, bintang-bintang baru pada sebelah kanan gambar sebenarnya menarik gas-gas hidrogen di sekelilingnya, menyebabkan berlaku letupan yang yang memantulkan warna merah. Manakala disebelah yang satu lagi, bintang-bintang tidak cukup darjah kepanasannya untuk menarik gas-gas sekelilingnya; sinaran berwarna biru itu adalah hasil daripada cahaya-cahaya bintang yang dipantulkan oleh debu-debu disekelilingnya.


Di antara celahan letupan-letupan dalam nebula ini, terdapat debu-debu hitam yang bersifat tumpat dan menghalang sebarang cahaya memantul kepadanya. Maka itulah yang anda dapat lihat seperti rekahan yang berlaku dalam nebula ini.




Di sebelah kanan adalah gambar Nebula Laguna ataupun Lagoon Nebula. Nebula yang terletak dalam wilayah buruj Sagittarius ini dapat dilihat mneggunakan mata kasar. Ia telah dijumpai oleh Guillaume Le Gentil pada tahun 1714. Nebula ini juga dapat dilihat menggunakan teropong, ia akan kelihatan seperti objek bujur kemerah-merahan di angkasa.

Jauh nebula ini dari bumi kita adalah 4,100 tahun cahaya. Manakala luasnya adalah 55 x 20 tahun cahaya.







Daripada:
Ashcroftstylus Az,
Balai Cerap Mini Dr. Rowi,
Guchil Bayam, Kota Bharu.
16 Mei 2010, 6:50 pg.


Thursday, May 13, 2010

Rantai Bima Sakti

Gambar ini telah di ambil oleh Dr Rowi di balai cerap beliau pada 11 Mei 2010 menggunakan kamera SLR Digital Canon 20Da. Dedahan selama lima minit dan ISO sebanyak 200.

Bima sakti atau dalam bahasa inggeris dikenali sebagai Milky Way adalah sebuah galaksi. Ia adalah galaksi induk bumi kita. Dinamakan Milky kerana pada waktu malam, kita dapat melihat ekor galaksi induk kita ini kelihatan seperti awan-awan atau pun susu.

Galaksi Bima Sakti adalah sebuah galaksi pilin, iaitu berbentuk seperti berpusar. Bima Sakti dipercayai berusia lebih 13 bilion tahun, jangkaannya seakan sama dengan usia alam semesta. Di dalamnya, dianggarkan terdapat sebanyak 200-400 bilion bintang.

Sistem suria yang mana bumi kita terletak dipercayai wujud amat rapat dengan satah galaksi Bima Sakti, oleh sebab itugalaksi Bima Sakti kelihatan terbahagi kepada dua hemisfera apabila dilihat pada waktu malam.

Kajian daripada saintis-saintis menganggarkan secara kasarnya dalam masa tiga bilion tahun, Bima Sakti akan berlanggar dengan jirannya iaitu galaksi Andromeda. Ini kerana galaksi jiran itu bergerak ke arah Bima Sakti dengan kelajuan 1,800 kilometer seminit.

Ashcroftstylus Az,
Balai Cerap mini Dr Rowi,
13 Mei 2010, 4.50pg.

Friday, April 23, 2010

Polaris atas kepala


Imej di bawah dirakamkan semalam di Pantai Mek Mas, Kuala Besar Kota Bharu. Ketika rakaman ini dibuat, cahaya bulan agak terang dan cuaca agak baik.Imej direkodkan dengan menggunakan kamera canon 20Da dengan dedahan selama 30 saat.Pada ketika dibuat, kita bersama-sama dengan pelajar Sekolah Menengah Kubang Kerian 1 sedang diajar oleh Muhammad Azim Ismail dari Maahad Muhammadi Lelaki (MML) sebagai Pengerusi Persatuan Falak Syarie MML tentang buruj dengan menggunakan lazer.

Sunday, April 11, 2010

Konjunsi Planet Utarid & Zuhrah

Assalamualaikum...




Untuk makluman, Konjunsi planet Zuhrah & Utarid terakhir sekali berlaku pada 2006 & kali ini konjunsi planet ini berada pada keadaan paling dekat antara satu sama lain pada 6hb April baru2 ini.

Gambar ini diambil menggunakan kamera Canon EOS20Da pada ISO 100, F5. Kamera dilekatkan pada tripod untuk menghilangkan gegaran tangan.

Buat masa sekarang kedua2 planet ini makin berjauhan antara satu sama lain tetapi planet Zuhrah kelihatan semakin terang dan lebih tinggi kedudukannya manakala planet Utarid makin malap dan rendah. Melihat planet Utarid merupakan sesuatu yang amat mengujakan. Ini kerana planet ini amat sukar untuk dilihat kerana ketinggian maksimun planet ini dari garis ufuk tidak melebihi 28 darjah. Jadi kebanyakan waktu planet ini sentiasa dilindungi oleh awan yang tebal.

Waktu sekarang, kedudukan planet ini masih lagi boleh dilihat jika kita mengetahui dimana kedudukannnya. Jika mengalami kesukaran, gunakan sahaja binokular. Jika kita mempunyai teleskop berkomputer, sudah tentu pencariannya amat senang.

Bukan semua manusia di bumi boleh melihat planet Utarid. Malah sesetengah ahli astronomi professional ada yang tidak pernah melihat planet ini seumur hidup. Malah Coppernicus, seorang ahli astronomi professional yang telah mengira dengan tepat kedudukan matahari dan peredaran planet2 lain tidak pernah melihat planet ini. Oleh itu, gunakan masa beberapa hari ini untuk melihat planet yang dikenali sebagai planet elusif.

Tentu sekali anda akan teruja bila melihatnya.

Salam,

Dr Rowi

Wednesday, March 31, 2010

Peralatan imejing terbaru

Ini adalah peralatan terbaru yang digunakan untuk imejing di Balai Cerap Mini Dr. Rowi.
Alatan tersebut terdiri dari beberapa teleskop yang kesemuanya adalah dari jenis pembias (refractor) dan beberapa jenis kamera CCD. Juga digunakan kamera filem dan digital dari jenis Canon model 20Da yang direka khas untuk imejing. Kesemua alatan ini diletakan diatas mount Takahashi NJP dan dikawal oleh Program Tha Sky 6. Untuk pendedahan yang lama digunakan kamera CCD model SBIG 237A sebagai kamera pemandu atau guider

Sunday, March 14, 2010

Friday, March 12, 2010

M45-Bintang Tujuh Beradik



Bintang Tujuh Beradik atau pun lebih dikenali sebagai Sevens Sisters adalah sebuah objek angkasa yang menarik dan cantik untuk dilihat.



Ia juga dikenali dengan kod M45. Jika di dalam bahasa inggeris, ia dikenali sebagai Pleiades/span>. Objek ini sebenarnya adalah sebuah gugusan bintang yang terdiri daripada tidak kurang daripada 100 bintang. Gugusan bintang ini adalah gugusan yang tercerah dan boleh dilihat dengan mata kasar. Bagi yang melihatnya menggunakan mata kasar, kelihatan sebanyak 6 bintang yang dekat seakan-akan awan.

Untuk memudahkan anda melihat objek ini, ia terletak disebelah utara buruj Belantik. bersebelahan bintang Aldebaran, iaitu bintang besar berwarna oren.



Sunday, March 7, 2010

Eta Carinae

Salah satu nebula yang menjadi rebutan ramai untuk dirakamkan adalah Eta Carinae. Ia merupakan salah satu objek yang amat-amat menakjubkan. Ia terletak dalam buruj Carina yang terletak di langit selatan jika dilihat daripada Kota Bharu. Nebula yang saiznya empat kali lebih besar daripada Nebula orion ini berada 10,000 tahuncahaya daripada bumi.

Nebula ini juga merupakan tempat yang aktif unutk pembentukan bintang-bintang baru.

Antara yang terdapat dalam nebula ini adalah bintang Eta Carinae. Bintang ini adalah bintang variable, yang mana ia boleh berubah dari segi perubahan kecerahan (magnitude ). 100 tahun dahulu bintang Eta Carinae adalah bintang kedua tercerah selepas Sirius.

Imej nebula ini dirakamkan di Kota Bharu dengan menggunakan kamera digital SLR Canon 20Da melalui teleskop APM 4.6 inci dengan dedahan selama 10minit (guided). Buat masa ini nebula ini akan berada pada kedudukan yang tertinggi dari ufuk selatan sekitar waktu tengah malam. Jika ada kelapangan mengapa kita tidak mencuba melihatnya malam ini?


Gambar di atas adalah gambar yang belum di proses.